Tuesday, July 17, 2012

A. Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara 2011


Tulisan Datuk A Kadir Jasin boleh dibaca di blog The Scribe A Kadir Jasin

Petikan dari http://www.mykmu.net

Dilahirkan di Pendang, Kedah pada 23 Ogos 1947, Kadir memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet di BERNAMA pada Jun 1969 -tahun yang penuh huru-hara. Ketika itu negara baru sahaja melalui tragedi 13 Mei yang menyaksikan pertumpahan darah antara kaum. Mungkin titik permulaan ini yang menjadikan Kadir seorang wartawan besar kemudiannya.

Membincangkan kekuatan dan ketrampilan Kadir Jasin sebagai tokoh wartawan tidak mungkin lengkap tanpa menyatakan beliaulah penulis pojok terkenal bernama Kunta Kinte yang menulis dalam Beita Harian 1987-1993. Pada ketika zaman kegemilangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kunta Kinte merupakan satu-satunya berani menegur Timbalan Perdana Menteri tersebut. Akibatnya pada tahun 1993, kolum Kunta Kinte beliau ditamatkan sungguhpun beliau masih kekal sebagai Ketua Pengarang NST.

Menulis dalam kompilasi buku “Biar Putih Tulang…” Kadir secara jelas menyatakan, “tidak segan silu saya nyatakan bahawa saya pasti terus menulis ruangan ini seandainya tidak diarahkan memberhentikannya walaupun tiada sebarang sebab diberikan.”

Gaya penulisan Kadir yang bersahaja dan berterus-terang menjadikan beliau sebagai seorang pencerita yang sangat menakjubkan ketika zaman kegemilanngan.

Tan Sri A. Samad Ismail pernah menulis bahawa Kunta Kinte @ Kadir Jasin bukan sahaja tegas dan keras mengkritik tetapi juga sangat adil. Suatu ketika beliau membelasah Lim Guan Eng, tetapi apabila Guan Eng digantung keanggotaan Dewan Rakyat selama setahun, beliau mengkritik penganggantungan tersebut sebagai terlalu berat. Ketika beliau mengecam Tunku Abdul Rahman kerana perbezaan pandangan, beliau juga membelasah kerajaan apabila terlalu lambat meluluskan permohonan rawatan Tunku Abdul Rahman ke luar negara.

Kehebatan Kadir ialah kebolehan beliau menulis dalam bahasa yang mudah dan padat seolah-olah dia sedang bercakap dan berbual-bual dengan orang kampung tetapi dalam masa yang sama menyampaikan buah fikiran yang besar mengenai ekonomi, sosial dan politik negara.

No comments: