Wednesday, August 13, 2008

Laporan Akhbar Anugerah MAHA 2008 Untuk HPA


1) Petikan laporan Utusan Malaysia (Rabu, 13 Ogos 2008) mengenai kejayaan HPA menerima Anugerah Perdana Menteri sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan.


Kopi 'Radix' Menang Anugerah PM

Oleh SUWARNI MOKHTAR

SERDANG 12 Ogos - Tiada siapa menyangka industri pertanian berasaskan herba mampu memberikan pulangan yang cukup lumayan.

Namun, syarikat HPA Industries Sdn. Bhd. berjaya membuktikan herba mampu menjana keuntungan apabila pada tahun 2007 nilai jualan produk keluaran syarikat itu mencecah RM63 juta.

Antara produk popular syarikat itu ialah Kopi Radix yang terkenal dengan ungkapan iklan 'Mai Secawan'.

Berikutan pencapaian tersebut, HPA telah dipilih untuk menerima Anugerah Perdana Menteri yang pertama kali diperkenalkan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK). Dengan kemenangan itu, HPA Industries membawa pulang hadiah wang wang tunai RM50,000, piala dan sijil.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad pada majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Terdahulu, syarikat tersebut turut menerima Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Kebangsaan 2008. Bagi anugerah ini, HPA mendapat hadiah RM30,000, piala dan sijil.

Menurut Ismail, syarikatnya kini berusaha mewujudkan ladang roselle dan pegaga memandangkan hasil ladang sedia ada tidak dapat menampung permintaan.

''Kami masih terpaksa mengimport roselle dari Sudan dan pegaga dari Indonesia, jadi dengan adanya ladang roselle dan pegaga yang lebih besar ia akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar,'' katanya.

Selain menetapkan sasaran keuntungan sebanyak RM100,000 pada tahun ini, Ismail menyatakan bidang pertanian dan industri asas tani telah terbukti mampu memberikan pulangan yang cukup lumayan sekiranya diusahakan dengan betul.

HPA memiliki empat buah kilang yang serba moden dan mengusahakan ladang-ladang herba seluas 500 ekar. Ia mempunyai kira-kira 400,000 ahli serta 21,000 usahawan di seluruh negara. HPA Industries juga mempunyai lima wakil di luar negara melalui aktiviti jualan langsung pelbagai peringkat (MLM).

2) Petikan laporan Harian Metro.

HPA Terima Anugerah

Syarikat pemasar Kopi Radix, HPA Industries Sdn Bhd menerima Anugerah Perdana Menteri Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2008.


HPA Industries, yang beroperasi di Arau, Perlis memasarkan produk makanan kesihatan, kosmetik dan barangan keperluan harian, selain mengusahakan tanaman pegaga, roselle dan mangga.

Dengan nilai jualan RM63 juta pada tahun lalu, HPA Industries menarik 400,000 keanggotaan dan 21,000 usahawan melalui pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan mempunyai 63 rangkaian pemasaran di seluruh negara dan lima di luar negara.

Selain dianugerah pemenang kategori yang baru diperkenalkan tahun ini, HPA Industries turut memenangi kategori Anugerah Pemasar Tani Jaya Kebangsaan 2008 yang menjadikan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000 selain sijil dan trofi, yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas pelancaran Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di Serdang, semalam.

Pengarah Urusan HPA Industries, Ismail Ahmad, berkata pengiktirafan tinggi daripada kerajaan itu akan dijadikan sumber motivasi dalam mengembangkan perniagaannya, terutama bagi meluaskan pasaran eksport.

3) Komen Tuan Haji Ismail Ahmad (Pengarah Urusan HPA) dalam blognya "jawiherbshop.blogspot.com":

Anugerah Perdana

Anugerah Perdana merupakan satu penghargaan kerajaan kepada HPA sebagai penjana sektor pertanian yang memberikan keuntungan kembali kepada rakyat. Berapa ramai mereka yang mendapat manafaat daripada kewujudan HPA kini semakin terasa. HPA yang menjadikan peniagaan MLM sebagai pilihan kini telah berjaya duduk setanding dengan syarikat korporat yang lain hasil dokongan kuat para ahli ahlinya.

Sebahagian besar yang saya temui di program MAHA sekurang-kurangya telah menjadikan Kopi Radix sebagai minuman utama mereka termasuk di peringkat menteri-menteri kerajaan. Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga amanah Allah (HPA) agar menjadi ladang yang sentiasa menghasilkan buah pada ummah. InsyaAllah.

No comments: