Tuesday, July 15, 2008

MLM, Yang Halal Dan Yang Haram

Berikut petikan jawapan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil berkenaan soalan penglibatan dalam perniagaan MLM.

Soalan; Sekarang ini banyak jualan langsung yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri MLM yang haram pula?

Jawapan;

"Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.

Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus.

Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya."

"Berdasarkan pengalaman saya dalam Syarikat HPA Industri Sdn. Bhd. (salah satu Syarikat Bumiputra Muslim yang giat menjalan perniagaan secara MLM di Malaysia), bonus yang diberikan oleh Syarikat HPA kepada pengedar-pengedarnya adalah sebagai ganjaran / upah yang dijanjikan kerana sumbangan mereka dalam melakukan perkara-perkara tersebut;
1. Memperkenalkan syarikat kepada orang ramai
2. Menaja ahli-ahli baru untuk syarikat
3. Membuat jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai.
4. Membimbing dan memimpin anak buah (downline) untuk membina organisasi perniagaan yang kukuh. Ini terpaksa melalui proses seperti pertemuan dari masa ke semasa untuk perbincangan, perancangan, penerangan berkenaan produk dan perkembangan terbaru syarikat.

Melihat kepada kerja/manfaat yang disumbangkan oleh para pengedar seperti di atas, saya merasakan pemberian bonus oleh Syarikat HPA menepati prinsip al-Ji'alah yang diharuskan oleh Syarak tadi."

Artikel penuh boleh dibaca di:
"http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/mlm-yang-halal-dan-yang-haram.html"

No comments: